Thursday, August 13, 2015

#ErisRaissa

The last and only post of my pregnancy is on Aug 12, 2014 (it has been a year!!! Gosh). Hence, here I am to continue writing on beautiful motherhood’s journey. :)

REZEKI

Semasa post SyuHanith Jr. dikemaskini, hubs and I are still in LDM. Tapi sepertimana selalu diperkatakan "anak itu rezeki", melalui anak yang dikandung juga kami diberi rezeki untuk tinggal bersama di bawah satu bumbung selepas hampir 2 tahun berjauhan.

Tawaran daripada ex-boss di tempat kerja lama yang minta dihantar resume kepadanya dipandang mudah pada awalnya. Setelah diminta untuk menghantar resume kali kedua melalui e-mel, saya menurut tanpa meletak sebarang harapan.

Siapa sangka saya dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga.

3 sesi diatur bagi temuduga itu dan saya dijadualkan pada sesi terakhir. Kehadiran seramai 10 orang calon (termasuk saya) memerlukan kami menjalani dua peringkat ujian iaitu; 1 - ujian menulis , 2 - temuduga bersama 2 orang pegawai tertinggi; Ketua Pengarah dan Ketua bahagian tersebut.

Untuk rekod, kandungan saya berusia 4 bulan sewaktu menghadiri temuduga berkenaan dan tawaran kerja diterima selepas 3 bulan.

Sungguh, siapa sangka. Out of 30 candidates only 3 have been selected; me and another two girls.

Alhamdulillah. Rezeki Eris Raissa.

CABARAN / DUGAAN


#1

Sepanjang mengandungkan Eris Raissa, saya cuma mengalami morning sickness pada 4 bulan pertama sahaja. Pada bulan-bulan berikutnya tiada kesukaran, keinginan (mengidam) atau kesakitan yang menjadi beban pada saya. Cuma di hujung-hujung kehamilan terjadi beberapa insiden yang tidak dijangka.

Pada minggu 37 semasa menghadiri pemeriksaan rutin ibu mengandung, doktor mengesan kekurangan air ketuban. Saya diberi masa seminggu untuk kembali diperiksa. Jika air ketuban masih sedikit, saya perlu dipaksa bersalin kerana bimbang akan keselamatan bayi.

Saya ada bertanya pada doktor, ada atau tidak kemungkinan air ketuban akan bertambah kembali.

Doktor jawab, ada. Tapi sukar dan jarang berlaku.

Jadi, sepanjang seminggu tersebut ahli keluarga, suami dan saya memang telah bersedia emosi, mental dan fizikal menghadapi kemungkinan saya akan bersalin lebih awal dari jangkaan tarikh yang diberi.

Pada masa yang sama, mama, suami dan saya turut ikhtiar mencuba beberapa cara untuk menambah air ketuban saya antaranya; minum air kelapa secara konsisten setiap hari.

Kuasa Allah s.w.t, siapa sangka jumlah air ketuban yang kritikal (terlalu sedikit) boleh bertambah dalam masa seminggu.

Alhamdulillah, saya selamat daripada dipaksa bersalin. :D

#2

10 hari sebelum saya melahirkan Eris Raissa, saya terkena shingles (kayap).

Mula terjadi dalam mata. Saya terasa seperti ada benda dalam mata. Setelah pergi ke klinik, doktor cakap saya sakit mata dan diberi ubat titis mata.

Makin merah mata, saya pergi hospital. Sama, doktor cakap saya sakit mata dan tompok-tompok merah kecil yang mula kelihatan pada kening dan dahi adalah kerana allergic pada ubat titis mata yang awal diberi kerana mengandungi antibiotik.

Saya ada cakap pada doktor, mata saya tidak terasa sakit sebaliknya saya terasa kepala yang berdenyut sakit. Menolak kemungkinan ianya symptom kayap, doktor tegas kata saya sakit mata. Mata saya dicuci dan kemudian diberi ubat titis mata tanpa antibiotik. Sigh.

Malam tu, sakit semakin menjadi. Kepala dan mata berdenyut sakit seakan setiap urat mata dan dalam kepala disiat-siat pisau. Pedih yang tak dapat ditahan dari keluar air mata.

Malam tu juga, suami, mama dan saya pulang ke kampung untuk mencuba perubatan tradisional.

Bermacam cara, petua diikut, Alhamdulillah semakin berkurang.

Sehingga melahirkan Eris Raissa, mata masih merah dan dahi masih berbekas parut kering dari luka kayap.

Eris Raissa ditahan di wad selama 5 hari untuk diperiksa sama ada jangkitan kayap terkena pada dia atau tidak.

Alhamdulillah, Eris Raissa sihat tanpa sebarang jangkitan kayap. :)

PERSEDIAAN

Selain daripada melakukan persediaan wajib menyambut kedatangan bayi i.e.: membeli pakaian, menyediakan barang keperluan bayi, etc., saya turut menyiapkan diri dengan ilmu dan mencuba beberapa nasihat dan tips untuk memudahkan proses melahirkan anak nanti. Terutama sekali ini merupakan pengalaman kelahiran pertama saya.


Pengambilan VCO 

VCO (virgin coconut oil) atau minyak kelapa dara merupakan amalan yang telah dipraktikan dari zaman dahulu lagi. Saya beruntung kerana Mama terlebih dahulu mencari dan membekalkan beberapa minyak kelapa dara yang dibuat sendiri daripada individu-individu tertentu termasuk membeli dari kedai.

Semoleknya amalan meminum minyak kelapa dara ini dimulakan apabila kandungan telah mencecah 7 bulan dengan mengikut kuantiti seperti yang disarankan.

Saya mendisiplinkan diri untuk mengambil satu sudu besar setiap malam semasa kandungan berusia 7 bulan dan apabila meningkat usia kandungan ke 8 bulan, saya mula mengambil 2 sudu besar setiap kali sebelum tidur.

Selain daripada minum, saya juga mengguna minyak tersebut untuk disapu di perut secara vertical (dari dada turun ke bawah) setiap kali sebelum tidur.

Perineal Massage

Berkongsi pengalaman, kawan sekerja menyarankan supaya mengamalkan urutan perineal ini dengan bantuan suami yang juga boleh dilakukan sendiri.

Tetapi berdasarkan pengalaman, agak sukar untuk melakukan sendiri kerana saiz perut yang besar menghalang pandangan secara terperinci jadi, saya meminta bantuan suami untuk melakukan urutan ini sewaktu kandungan berusia 8 bulan yang juga dilakukan setiap kali sebelum tidur (tapi tidak konsisten) - cukup jika dapat dilakukan seminggu 2 @ 3 kali.

Antenatal Class

Kelas antenatal yang turut diperkenalkan oleh rakan sekerja amat membantu bagi setiap ibu yang mengandung pertama kali. Banyak kelebihan dan manfaat dapat diperolehi dalam kelas ini bagi membantu ibu (termasuk suami) menangani rasa cemas dan gentar menghadapi saat-saat melahirkan bayi.

Saya mendapat sokongan suami untuk turut serta menghadiri kelas ini dan sama-sama belajar mengenai teknik-teknik penting seperti cara pernafasan ketika mengalami contraction dan semasa ingin meneran, kedudukan / posisi badan yang betul semasa melahirkan anak dan sebagainya.

Bagi suami yang merancang untuk menemani isteri dalam bilik bersalin, kelas ini akan membantu anda untuk mengingatkan si isteri kembali tentang teknik penting yang telah dipelajari selain memberi sokongan moral kepada isteri.

MOMEN MANIS


Setiap bakal ibu akan mengalami pengalaman berbeza melahirkan anak walaupun berkongsi tanda-tanda akhir akan bersalin yang sama.

Darah

Tanda pertama yang saya alami adalah keluar darah dari vagina secara konsisten 5 hari sebelum melahirkan Eris Raissa. Namun, tiada rasa sakit mahupun braxton hicks yang dialami pada 3 hari awal darah keluar.

Sejurus mendapati ada darah keluar, keluarga dan suami terus membawa saya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan. Dan saat itu, laluan baru terbuka 1cm.

Walaubagaimanapun, saya ditahan untuk diperiksa sama ada virus kayap menjangkiti bayi dalam kandungan atau tidak.

Semalaman di hospital, selepas dijamin tiada jangkitan, saya dibenarkan pulang.

Braxton Hicks

Braxton hicks atau kontraksi palsu mula terasa 2 hari sebelum melahirkan Eris Raissa. Sakit yang terasa dalam sejam sekali membawa saya sekali lagi ke hospital untuk diperiksa.

Setelah mengambil denyut jantung bayi dan melakukan pemeriksaan, doktor memaklumkan laluan baru terbuka 2cm namun kepala bayi sudah engaged (masuk ke dalam rongga pelvis). Diberi pilihan sama ada ingin ditahan di wad atau pulang, saya memilih untuk pulang ke rumah.

Sakit Tulang Belakang dan Pinggul

Saya mula terasa sakit tulang belakang dan pinggul dengan perbezaan waktu 30 minit sekali, sehari sebelum melahirkan Eris Raissa.

Menolak cadangan ahli keluarga untuk ke hospital lagi atas sebab merasakan diri masih lagi mampu menahan sakit dan tidak mahu di tahan di wad dalam tempoh yang lama, saya mengambil keputusan untuk bertahan selama yang boleh selagi mampu.

Tidak sanggup melihat keadaan saya menahan sakit, mama dan ibu mertua memanggil bidan kampung sekadar untuk mendapat nasihat secara tradisional.

Sama seperti doktor, mak bidan turut berkata kepala bayi kini dalam posisi yang betul namun sedikit menyerong ke kanan yang menyebabkan saya rasa sakit dan menyukarkan bayi untuk keluar.

Mak bidan hanya mengurut perut bagi membetulkan kedudukan bayi semula.


Contraction

Setelah mak bidan mengurut perut, saya sudah mula rasakan sakit contraction yang berlaku 15 minit sekali.


Kronologi (secara kasar):

10.30 malam - Mak bidan mengurut perut

12.30 tgh/malam - Contraction mula terjadi 15 minit sekali

3.30 pagi - Saya mengejutkan suami dari tidur untuk membawa saya ke hospital

4.00 pagi - Tiba di hospital dan melakukan pemeriksaan; Laluan terbuka 3cm

4.40 pagi - Laluan terbuka 4cm.

5.00 pagi - Ditolak masuk ke bilik bersalin. **Doktor menjangkakan saya hanya akan bersalin 7-8 jam lagi.

5.30 pagi - Nurse offer gas entonox untuk disedut bagi mengurangkan rasa sakit contraction. Melalui pendedahan awal yang dipelajari semasa mengikuti kelas antenatal, saya sedia maklum mengenai penggunaan gas tersebut dengan menggunakan teknik yang betul. Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan rasa sakit contraction.

6.30 pagi - Doktor memeriksa laluan yang sudah terbuka 6cm.

Tidak lama setelah doktor memecahkan air ketuban saya mula terasa seperti ingin membuang air besar.

Dan bila doktor kembali periksa laluan, ia sudah terbukan 8cm.

Benar, sakit contraction tidak dapat digambarkan. Suami yang setia menemani disisi sebak melihat keadaan saya menahan sakit dalam keadaan mengiring dan membengkok.

Namun, sejujurnya sakit disaat melahirkan Eris Raissa tidak sesakit contraction.

Saya dapat merasakan Eris Raissa sama berusaha menendang untuk keluar dan ia memudahkan proses melahirkannya yang hanya terasa seperti meneran air besar.

Berbeza dengan kawan-kawan yang berkongsi pengalaman yang mengatakan mereka tidak merasa sakit walaupun saat digunting (episiotomy) kerana lebih terasa sakit untuk melahirkan anak, saya pula sebaliknya. Allah s.w.t memudahkan proses melahirkan Eris Raissa dengan memberi nikmat sakit yang mampu ditahan justeru, kesakitan saat digunting tu lebih terasa.

7.33 pagi - Eris Raissa seberat 3.4 kg selamat dilahirkan secara normal tanpa pengambilan epidural seperti mana yang saya niatkan sewaktu mengandung dulu. Ingin merasa sendiri bagaimana rasa sakit melahirkan anak tanpa bantuan ubat-ubatan lain. Nikmat itu, Allah s.w.t saja yang tahu. Sakit tetapi sangat berharga.

Saat doktor meletakkan Eris Raissa dipangkuan, Eris masih lagi menangis tetapi berhenti setelah memandang saya. Indahnya perasaan tu sukar ditafsirkan. Dan kata-kata pertama saya kepadanya adalah, "Good job sayang." -- kerana dia, teammate yang kuat dan setia berjuang bersama saya. My little angel Eris Raissa.

Eris Raissa dilahirkan pada 13 Feb 2015
*2 hari lebih awal dari tarikh jangkaan - 15 Feb 2015


p/s: Selain daripada mencuba tips yang dikongsi, doa daripada ibu, ayah dan suami amat memainkan peranan bagi melancarkan proses melahirkan anak disamping mengamalkan membaca doa-doa berkaitan antaranya;
 لا إلهَ إلا أنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظّالِمِيْنَ.  In sha Allah, mungkin membantu ;)



Index


  1. Eris - Nur / Cahaya
  2. Raissa - Keimanan / Ketaqwaan